Search This Blog

Wednesday, 2 January 2013



Diari Kata Hati

Kata 1
Sesuatu yang tidak dijangkakan itu kadang-kadang lebih baik daripada apa yang diatur.
Bergelar insan yang terbatas akal dan pandangannya kadang-kadang memaksa diri untuk melalui jalan-jalan yang tidak diketahui akan bagaimana penghujungnya nanti. Manis dan pahit di sepanjang perjalanan itu satu perkara biasa, namun akhir dan kesudahan jalan itu yang menjadikan kita luar biasa.
Itulah apa yang aku rasakan sekarang, mungkin pahitnya sudah ku lepasi kerana sekarang ini aku sedang menikmati kemanisnya. Akan tetapi, mungkin selepas ini akan hadir pula kepahitan lain yang aku sendiri tidak mengetahuinya. Namun aku percaya yang kemanisan juga sedang menanti ku selepas daripada itu.
Jangan dipertikaikan apa yang telah dijadikan Allah, akan tetapi berusahalah untuk menyaksikan kelebihan dan kebaikan yang ada di penghujungnya. Suka untukku ingat kembali betapa pentingnya saat itu dalam mendidikku menjadi setabah ini. Ia menjadi bukti betapa aturan Allah itu lagi baik daripada aturan manusia itu sendiri.
Ketika bergelar pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) aku berada dalam keadaan serba tidak kena. Tidak sabar menunggu keluarnya slip sakti sijil peperiksaan. Waktu penantian bagaikan satu penyeksaan bagiku setelah hampir satu bulan bertarung dalam dewan peperiksaan.
Pelaburan selama lima tahun di sekolah menengah tidak menginginkanku untuk mendengar walaupun sekali akan perkataan rugi dalam kepingan slip peperiksaan SPM-ku kerana mahuku hanyalah untung semata-mata. Ini kerana untuk menceriakan abi dan ummi serta membahagiakan mereka semampuku.
Aku tidak mahu sesekali mendedahkan mereka kepada kesedihan terutama melalui keputusan peperiksaan ini. Keputusan peperiksaan ini bukan hanya ibu sijil bagiku namun ianya merupakan maruah dan hadiahku untuk abi dan ummi.
Akhirnya keputusan peperiksaan diumumkan. Aku yang datang ke pejabat sekolah awal pada hari itu begitu tidak sabar untuk mengambilnya. Selepas beratur panjang di dalam pejabat sekolah tibalah giliranku untuk mengambil slip keputusan itu.
Setelah hujung kiri dan kanannya ku pegang cermat mataku terus memandang atas dan bawah butiran yang tertera di dalam slip itu mencari bilangan A yang menghiasi slip peperiksaanku.
Alhamdulillah, semuanya cukup. Bagiku keputusan ini cukup memadai walaupun tidak begitu cemerlang dengan hiasan huruf A yang banyak seperti insan yang lain. Ia memang mencukupi, Terima kasih ya Allah.
Diharapakan dengan keputusan ini aku dapat mencapai impianku untuk melangkah ke menara gading pilihan beserta kos pengajian yang ku minati.
Borang kemasukan untuk ke universiti ku isi dengan cermat dan penuh berhati-hati agar semuanya berjalan dengan lancar. Dan untuk itu sekali lagi aku perlu untuk menunggu untuk suatu tempoh yang agak lama sebelum mendapatkan keputusannya.
Di sinilah aku diuji dengan apakah itu kesabaran dan doa. Tegasku kepada diri sendiri, “bagaimana mungkin seseorang itu mahu mengharap dan meminta sesuatu daripada Allah sedangkan sifulan itu tidak pun mengemis kepada-Nya”. Jangan lagaknya sombong di hadapan Allah kerana nanti Allah pasti membalasnya.
Masa berlalu pantas dan natijahnya diumumkan hanya melalui mesej pesanan ringkas. Dimuatkan dalam mesej tersebut mengenai maklumat-maklumat ringkas tentang keputusan kelayakan untuk ke universiti.
Mesej yang singgah di telifonku pada masa itu didahului dengan perkataan “Tahniah”. Alhamdulillah, nampaknya Allah memakbulkan doaku dengan menghadiahkan kepadaku tawaran pengajian di salah satu universiti yang sememangnya merupakan impianku.
Namun, rasa syukur itu tidak berterusan lama. Mungkin ego menerpa diri, mungkin juga angkuh yang mendakap hati, aku berasa tidak senang dengan kos pengajian yang ditawarkan. Sesungguhnya aku telah didatangi tawaran yang tidak sesekalipun aku merancang untuk mendapatkannya.
"Aku suka bidang dan kos lain, kenapa hanya ini yang ku dapat?
Keputusan exam aku baik, kenapa tawaran lain pula yang ku dapat?"
Sepersis inilah keadaan dan situasi yang pernah bersua denganku. Apa yang telah aku alami ini pernah menjadikanku murung tanpa bahasa dan sepi tanpa berita untuk seketika waktu.
Tidak sedar akan perancangan Allah yang lebih baik dan hebat. Diri dirasakan berhak mengatur segalanya mengikut plan A, B dan C. Setiba di peringkat yang lebih menakutkan adalah sehingga tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan bahkan dipertikaikan pula. Jika bodoh merupakan gelaran yang paling sesuai bagi golongan yang sedemikian maka mungkin akulah yang merupakan insan paling bodoh pada ketika itu.
Ya, disebabkan keterpaksaan yang mengelilingi maka perjalanan yang tidak disukai itu ku teruskan. Semuanya ku teruskan dengan langkahan yang kecil. Masih terasa kepahitan itu dan semakin pahit terasa bila mengenangkannya. Hati bagaikan masih belum bersedia menerima perancangan itu.
Tetapi, untuk suatu tempoh yang tidak berapa lama selepas daripada itu aku telah menemukan petunjuk-petunjuk yang bagaikan dicipta khas bagiku untuk membongkarkannya. Mungkin Allah tidak ingin membiarkan hati ku pekat menghitam dengan dosa maka ditunjukkan kepada ku akan apa sebenarnya yang patut ku sedari daripada perancangan ini.
Petunjuk itu ku temui di celahan-celahan kata dalam kuliah ilmu di waktu pagi dan petang. Bagaikan disepakati, guru-guru yang mengajarku semuanya lantang membacakan baris-baris ilmu yang punyai persamaan. Persamaannya adalah betapa mulianya seseorang itu di sisi Allah jika dia mampu memahami keindahan yang tersirat di sebalik kalam-kalam Allah.
Walaupun dalam kelas yang berbeza matapelajarannya, namun guruku kesemuanya suka mendatangkan satu perkataan atau baris daripada al-Quran untuk dibedahkan keistimewaannya. Setiap hari langkahan kakiku semakin ringan dan laju. Ingin lagi belajar memahami kalam-kalam Allah dengan lebih mendalam.
Kenapa begitu dan kenapa begini dalam meneliti kalam-kalam Allah akhirnya menjadikanku terasa lebih dekat dengan tuhan maha pencipta. Sungguh hebat kata-kata-Nya.
Daripada saat itu aku mula sedari akan kesilapan yang telah ku calitkan, sememangnya Allah lagi mengetahui apa yang terbaik untuk diriku lebih daripada pengetahuanku sendiri.
Sebak dan menyesal datang tanpa diundang. Rasa bersalah dan berdosa menjadikan dadaku berat. Namun ku percaya Allah punya keluasan dalam pengampunan dan daripada saat itu ku teruskan langkahan dengan bangga kerana punyai pengalaman sebesar itu.
Terima kasih ya Allah. Sekarang ku kenal apa itu ertinya takdir, lambat dan cepat ia pasti hadir, kerana takdir yakin si fakir dan kerana takdir juga mata air itu tetap mengalir.
Bagi yang sedar dengan apa yang dinamakan dengan takdir mereka akan menerimanya segalanya dengan hati yang terbuka. Namun bagi yang keras hatinya semua ini dirasakan kejam hinggakan ada sesetengah daripada pelajar merasa tidak adil dan merenungi takdirnya dengan amarah.
Segala takdir telah diatur oleh Allah dengan sebaiknya. Semua yang berlaku harus diyakini bahawa ianya mempunyai hikmah yang pasti menggembirakan, jika tidak di dunia ini maka pasti di akhirat pula.
Bukan ujian itu datang untuk menyusahkan diri tetapi ia datang untuk menguji hati dengan sedikit kesusahan. Bersangkalah baik dengan Allah tuhan semesta alam. Dialah yang menjadikan insan dengan sifat kesempurnaan dan Dialah yang memahami keinginan hati manusia lebih daripada manusia itu sendiri.
Kadang-kadang manusia juga lupa menilai akan hal itu sedangkan Allah telah berfirman di dalam al-Quran dalam surah al-Baqarah dalam ayat yang ke 216:
( #Ó|¤tãur br& (#qèdtõ3s? $\«øx© uqèdur ׎öyz öNà6©9 ( #Ó|¤tãur br& (#q6Åsè? $\«øx© uqèdur @ŽŸ° öNä3©9 3 ª!$#ur ãNn=÷ètƒ óOçFRr&ur Ÿw šcqßJn=÷ès? ÇËÊÏÈ  
Yang bermaksud, “boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ianya adalah sangat baik untukmu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ianya amat buruk bagimu”.
Sesungguhnya Allah lebih mengetahui akan apa yang baik mahupun buruk bagi kita, oleh yang demikian janganlah berprasangka buruk kepada Allah tuhan pencipta alam.
Apa yang datang luar daripada jangkaan kita kadang-kadang lebih baik daripada apa yang kita rancang, dan sesungguhnya rahmat Allah sangatlah luas bagi hamba-hamba-Nya yang bersyukur dan sentiasa bersangka baik kepada tuhannya.