Search This Blog

Monday 30 May 2011

Bukan setakat planet bergerak pada paksinya.


Di dalam Al-qur’an terkandung pelbagai mukjizat dan keistimewaan yang terkadang sukar difahami dan diserkup oleh mata kasar manusia. Padanya diperlukan pemahaman ilmiah yang mantap dan mendalam. Manakala pada kadang-kadangnya juga walaupun bukan secara ilmiah pun manusia dapat merasakan kemukjizatan Alquran sebagai kalamullah.

Mukjizat dalam Al- quran bukan sahaja pada konkrit teks ayatnya yang indah bahkan pada makna dan penggunaan serta pemilihan perkataan-perkataan di dalam sesuatu ayat juga perlu kita ambil kisah.

Pada yang jitu dan kukuh imannya, binaan ayat Alquran yang cantik itu pun sudah cukup untuk menyakinkan bahawa Alquran itu bukan daripada manusia, bukan daripada orang arab padang pasir, bukan daripada para sahabat, bukan daripada Nabi Muhammad sollallahu alaihi wasallam dan bukan daripada mana-mana makhluk yang kita dapat gambarkan sekarang ini. Kerana ia daripada ALLAH yang Maha Esa.

Dalam Alquran pada surah yasin, ada tercatat pada ayat ke 37  hingga 40 :

وَءَايَةٌ لَّهُمُ الَّيْلُ نَسْلَخُ مِنْهُ النَّهارَ فإِذَا هُم مُّظْلِمُوْنَ (37)
وَالشَمسُ تَجْرِى لِمُسْتَقَرٍّ لَّهَا ذَلِكَ تَقْدِيْرُ العَزِيزِ العَلِيمِ (38)
وَالقَمَرَ قَدَّرنَهُ مَنَازِلَ حَتَّى عَاد كَالعُرْجُونِ القَدِيْمِ (39)
لَا الشَّمْسُ يَنْبَغِى لها أنْ تُدْرِكَ القَمَرَ وَلا الَّيْلُ سَابِقُ النَّهار وكُلٌّ فِي فَلَكٍ يَسْبَحُوْنَ(40)

yang bermaksud :

37) dan suatu tanda (yakni kekuasaan ALLAH yang besar)  bagi mereka ialah malam; kami tanggalkan siang daripada malam, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan,
38) dan matahari berjalan di tempat  peredarannya. Demikianlah ketetapan yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.
39) dan telah kami tetapkan bagi bulan manzilah-manzilah (atau tempat-tempat tinggalnya) sehingga (yakni setelah dia sampai ke manzilah yang terakhir) maka kembalilah dia sebagai bentuk tandan yang  tua.
40) tidaklah mungkin bagi matahari mendapatkan bulan dan malam pun tidak dapat mendahului siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarannya. ( tafsiran Ibnu Katsir, jilid 3)

Apakah yang anda dapat fahami? Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa Allah memberikan kita satu gambaran yang jelas mengenai peredaran dan pergerakan  matahari, bulan serta planet-planet lain yang sejenis dengannya. Dan Allah juga ada menyebut dalam awal-awal ayat diatas itu mengenai kejadian pertukaran malam dan siang yang mana kesemuanya sudah berada dalam paksi dan landasannya, dengan kata yang lain semuanya di dalam “setting”nya yang tetap sebagaimana yang telah di kehendaki.

Kita pernah di tunjukkan oleh guru-guru sains di sekolah dahulu mengenai modul lengkap berwarna-warni contoh planet di system suria. Di situ sebenarnya kita sudah memahami bahawa setiap planet yang beradanya mempunyai landasan dan bergerak pada paksi masing-masing yang telah tetap.

Kita dapati bahawa setiap planet tidak meminjam jalan planet yang lain untuk bergerak. Ilmu dan pemahaman mengenai ini sudah jelas di ruang minda barang siapa yang mempelajarinya.

Soalan, adakah semua sedia nampak satu mukjizat pada ayat dari surah Yasin yang diutarakan sebentar tadi? Mungkin tiada yang sempat memerhati akan keagungan ayat ALLAH tersebut. Mungkin tiada yang mengetahui tujuan saya menebalkan baris akhir ayat asal dan pada makna ayat surah Yasin yang ke 40 itu.

Sebetulnya sebagaimana yang dimaklumkan pada awal tadi ayat pada surah Yasin itu bukan sahaja mempunyai mukjizat pada dasar ilmunya bahkan pada pemilihan perkataannya dan maknanya, perhatikan ini.

1
كُلٌّ فِي فَلَكٍ
2
ك ل ف ي ف ل ك

Jika dipusingkan kalimah ini dari belakang ke arah hadapan kita akan menyaksikan bahawa ia tetap akan membentuk kalimah dan perkataan yang sama dan statik. MasyaALLAH ia bukan sahaja kena dan tepat pada sudut maknanya bahkan sesuai daripada sudut perkataan itu sendiri. Bukan setakat planet di orbit masing-masing bahkan huruf-huruf ini juga berada di paksinya yang satu.

Begitulah indah dan istimewanya kalamullah ini, sesungguhnya hanya pada sepotong ayat Al-qur`an seperti itu dapat memberikan gambaran yang ringkas tentang sistem galaksi yang luas tidak dijangkau di atas sana. Berpeganglah  dengan Al-qur`an seyakin-yakinnya kerana itulah kunci kejayaan bagi umat Islam, berwaspadalah dengan tipu daya kuffar yang sering mahu melalaikan kita dari membaca dan beramal dengannya.

WALLAHU A`LAM.

Mohd khairi bin ismail,


No comments:

Post a Comment